Google sentiasa mengemas kini algoritma enjin cariannya untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna. Setiap perubahan boleh memberi kesan besar kepada trafik blog, sama ada menaikkan ranking atau menjatuhkan kedudukan di SERP (Search Engine Results Pages).
Setiap kemas kini, seperti Google Core Update, boleh menyebabkan blog yang sebelum ini berada di halaman pertama tiba-tiba jatuh ke halaman belakang jika kandungannya dianggap kurang relevan, bukan info terkini atau tidak mematuhi garis panduan E-E-A-T (Experience, Expertise, Authoritativeness, Trustworthiness).
Contohnya, artikel aku sebelum ini tentang "telur rebus masak sos" pernah berada di kedudukan pertama di Google dan menerima trafik yang tinggi setiap bulan. Namun, selepas Google melaksanakan kemas kini algoritma terbaharu, artikel tersebut merosot kedudukannya dalam SERP dan trafik menurun secara mendadak.
Ini mungkin berlaku kerana
- Artikel itu ditulis pada tahun 2017
- Artikel tidak dikemas kini dengan maklumat terkini
- Artikel tidak mengandungi elemen pengalaman peribadi
Dalam masa yang sama, semakin banyak artikel baru dengan resepi yang hampir sama tetapi lebih lengkap, menarik dan mesra SEO telah diterbitkan oleh blogger lain, menyebabkan Google lebih memilih artikel mereka untuk dipaparkan di halaman pertama.
Ini menunjukkan pentingnya blogger mengemas kini artikel lama dan menambah nilai berbanding sekadar menulis isi asas.
Perubahan Algoritma Google & Cara Blogger Boleh Bertahan (2025)
Berikut adalah beberapa perubahan utama yang sedang berlaku dan bagaimana blogger boleh menyesuaikan diri:
1. AI dan Google Search (Search Generative Experience - SGE)
Perubahan besar dalam dunia SEO kini ialah penggunaan AI oleh Google melalui Search Generative Experience (SGE), di mana jawapan kepada pertanyaan pengguna dipaparkan secara terus dalam hasil carian tanpa perlu klik ke mana-mana laman web.
Ini memberi kesan besar kepada blogger kerana trafik organik boleh menurun jika artikel mereka tidak dipaparkan dalam snippet AI tersebut.
Apa yang blogger boleh lakukan?
✅ Fokus kepada kandungan yang lebih mendalam serta unik dan bukan sekadar jawapan ringkas. Contohnya bukan sekadar menjawab "Apa itu SEO?" tetapi memberikan penjelasan mendalam, strategi terkini, kajian kes, dan panduan langkah demi langkah.
✅ Gunakan structured data (seperti FAQPage, Article, HowTo schema) membantu Google mengenal pasti elemen penting dalam artikel untuk dipaparkan dalam hasil AI.
2. EEAT: Experience, Expertise, Authoritativeness, Trustworthiness
Perubahan algoritma Google yang kini menekankan EEAT (Experience, Expertise, Authoritativeness, Trustworthiness) memberi isyarat jelas bahawa kandungan berkualiti tinggi perlu datang daripada penulis yang benar-benar berpengalaman dalam bidang yang dibincangkan.
Ini bermakna Google lebih mempercayai blog yang ditulis berdasarkan pengalaman sebenar berbanding kandungan yang sekadar menyalin fakta dari sumber lain.
Sebagai contoh, jika seorang blogger menulis tentang “Cara Lulus Google AdSense”, mereka harus berkongsi langkah-langkah yang pernah mereka lalui sendiri – seperti proses permohonan, kesilapan yang dilakukan, dan cara mereka memperbaikinya – bukan hanya menghuraikan syarat-syarat rasmi.
Apa yang blogger boleh lakukan?
✅ Kongsikan pengalaman peribadi dalam artikel (bukan hanya menyalin fakta).
✅ Gunakan "About the Author" di akhir artikel untuk membina kredibiliti.
✅ Dapatkan backlink berkualiti daripada laman web yang mempunyai autoriti tinggi.
3. Kandungan Berkualiti dan Nilai Pengguna Semakin Penting
Perubahan algoritma Google yang semakin canggih kini lebih mengutamakan kandungan berkualiti tinggi yang benar-benar memberi nilai kepada pengguna, berbanding artikel yang ditulis semata-mata untuk mengejar ranking dengan kata kunci berulang.
Ini bermakna, jika sesebuah artikel hanya dipenuhi dengan "keyword stuffing" tanpa isi yang bermanfaat, besar kemungkinan ia tidak akan berada lama di halaman pertama carian.
Oleh itu, blogger perlu mengubah pendekatan penulisan dengan fokus kepada menyelesaikan masalah pembaca, menjawab soalan mereka secara lengkap, dan memberikan pengalaman membaca yang mudah dan menarik.
Apa yang blogger boleh lakukan?
✅ Fokus kepada nilai kepada pembaca dan bukan hanya mengejar kata kunci.
✅ Gunakan format mesra pembaca seperti bullet points, heading yang jelas, dan visual menarik.
✅ Elakkan "keyword stuffing" dan pastikan artikel ditulis secara natural.
Kandungan sebegini bukan sahaja disukai Google, malah mendorong pembaca untuk kekal lebih lama di blog dan berkongsi kepada orang lain — sekali gus meningkatkan trafik dan peluang pendapatan blogger.
4. Long-Tail Keywords & Semantic SEO
Perubahan utama dalam SEO masa kini ialah peningkatan penggunaan long-tail keywords dan pencarian secara semantik, di mana pengguna cenderung menaip soalan penuh atau ayat lengkap seperti “Bagaimana cara menjana pendapatan melalui youtube?” berbanding hanya menaip “jana pendapatan blog”.
Apa yang blogger boleh lakukan?
✅ Gunakan long-tail keywords dan ayat yang lebih semula jadi dalam artikel.
✅ Jawab soalan-soalan pengguna dengan menambah bahagian FAQ dalam artikel.
✅ Korang hendaklah menulis artikel berbentuk panduan menyeluruh atau "how-to" yang menjawab persoalan spesifik
✅ Gunakan Latent Semantic Indexing (LSI) Keywords untuk membantu Google memahami topik secara lebih mendalam.
Latent Semantic Indexing (LSI) Keywords ialah kata kunci atau frasa yang berkaitan secara semantik (maksud/konteks) dengan topik utama artikel.
Sebagai contoh:
Jika topik korang ialah: “Cara jana pendapatan dengan blog”, maka LSI keywords yang berkaitan mungkin ialah:
- “affiliate marketing”
- “Google AdSense”
- “pendapatan pasif”
- “daftar program affiliate”
- “menulis artikel SEO”
- “pilih niche blog”
Walaupun frasa tersebut bukan “jana pendapatan dengan blog”, ia masih berkait rapat dan memberi konteks kepada Google bahawa artikel tersebut benar-benar membincangkan topik itu secara menyeluruh.
5. Mobile-First Indexing dan Core Web Vitals
Mobile-First Indexing dan Core Web Vitals adalah dua perubahan besar dalam algoritma Google yang memberi impak kepada SEO dan ranking blog.
Google kini memberi keutamaan kepada versi mobile sesebuah blog untuk menentukan kedudukannya di hasil carian. Ini bermakna blog tidak mesra mobile, kemungkinan besar ia akan ketinggalan dalam persaingan.
Selain itu, Core Web Vitals, yang merangkumi tiga metrik utama—LCP (Largest Contentful Paint), FID (First Input Delay), dan CLS (Cumulative Layout Shift)—menilai pengalaman pengguna (UX) dan kelajuan laman web.
Apa yang blogger boleh lakukan?
✅ Gunakan tema blog yang responsif dan mesra mobile.
✅ Tingkatkan kelajuan blog serta mengoptimumkan gambar.
✅ Periksa Core Web Vitals menggunakan Google Search Console dan pastikan skor LCP, FID, dan CLS adalah baik.
Sebagai contoh, jika blog tidak mesra mobile, trafik daripada pengguna mobile akan berkurang, menyebabkan penurunan ranking di Google.
Cara Periksa Laporan Core Web Vitals di Google Search Console
- Log masuk ke Google Search Console dan pilih properti blog korang.
- Klik pada menu “Experience” →“Core Web Vitals.”
- Korang akan nampak laporan untuk Mobile dan Desktop — fokus dahulu pada Mobile kerana Google kini menggunakan mobile-first indexing.
Cadangan untuk Penambahbaikan
LCP – Kelajuan Muat Elemen Utama
- Gunakan lazy-loading untuk gambar.
- Tukar format gambar ke WebP.
- Minimumkan kod CSS & JavaScript.
FID – Masa Respon Pertama
- Kurangkan penggunaan JavaScript berat (Followers, Popular Posts etc)
- Elakkan penggunaan skrip luar yang perlahan seperti widget berat atau iklan tertentu.
CLS – Kestabilan Halaman
- Tentukan saiz tetap untuk semua gambar, video dan iframe.
- Jangan letak elemen seperti iklan, gambar besar, atau video autoplay di bahagian atas blog.
Bagaimana Blogger Boleh Bertahan dengan Perubahan Ini?
Untuk terus kekal relevan dalam dunia blogging yang sentiasa berubah, blogger perlu proaktif mengikuti perkembangan terkini algoritma Google. Fokus kepada pengalaman pengguna, kualiti kandungan, dan elemen teknikal seperti kelajuan blog dan mobile-friendliness adalah kunci utama.
Dengan memahami perubahan seperti EEAT, SGE, dan Core Web Vitals, serta menyesuaikan strategi penulisan dan teknikal blog, blogger bukan sahaja mampu kekal di halaman pertama Google — malah terus membina kredibiliti dan pendapatan jangka panjang.
Catat Ulasan